credit to : http://harianislam.com


Budaya Couple Di Malaysia

Budaya Couple di Malaysia
Budaya Couple di Malaysia | Meniti kehidupan remaja, saya mula mengenali perkataan ‘couple.’ Saya tidak terlibat tetapi di dalam hati menginginkannya apabila melihat teman-teman yang lain mempunyaipasangan. Ketika itu siapa yang mempunyai couple dianggap hebat (kerana ada peminat) dan matang (kerana telah meluaskan pergaulan bukan sekadar dengan rakan sejantina).
Saya bukan seorang yang sangat pemalu atau pendiam tetapi apabila berhadapan dengan lelaki dalam lingkungan umur saya terutama lelaki yang saya tertarik padanya, serta merta sifat malu saya sangat menebal. Lidah saya menjadi kelu, tingkah laku menjadi tidak menentu dan akhirnya keadaan menjadi sangat janggal dan mungkin itu menyebabkan lelaki-lelaki yang ingin mendekati akhirnya membatalkan niat. Mungkin mereka menganggap saya pelik.

Budaya Couple Di Malaysia

Melangkah ke alam universiti, teman yang dulu sama-sama tidak pernah bercouple akhirnya bercouple juga. Saya ingat lagi kata-kata teman baik saya apabila saya bertanya, “seronok ke couple ni?”
Dia menjawab, “tak best pun, buat tambah dosa adalah.”
Pelik juga saya mendengar kerana di zaman sekolah dulu kami pernah sama-sama menyimpan angan-angan untuk bercouple. Apabila dia yang terlebih dahulu bercouple, saya menganggap yang dia sudah terlebih dahulu matang daripada saya.
Teman baik saya yang pernah menyatakan ‘tak best pun couple, buat tambah dosa aja’- kini dialah yang paling galak bercouple. Selepas putus dengan seorang dia menyambung hubungan dengan seorang lagi. Dia sendiri mengaku yang dia tidak boleh ‘single.’ Alasan diberi setiap kali saya menegur, dia perlukan seseorang yang sentiasa ada setiap masa untuk mendengar ceritanya sehari-hari, dia perlukan telefon yang sentiasa berbunyi 24 jam (sindrome ketika bercinta), dia perlukan teman yangsetia menemaninya ke sana ke mari.
Jika itu semua tiada, hidupnya terasa kosong. Kadang kala kasihan pula saya melihat dia sibuk mengejar cinta lelaki-lelaki ini. Sudahlah masa terbuang, wang ringgit juga turut terkorban dengan aktiviti ‘dating.’ Itu belum lagi termasuk beberapa siri ‘heartbroken’ apabila beberapa kali dia dikecewakan cinta lelaki.
Bagi saya, Allah telah memberikan petunjuk kepada teman saya sejak awal lagi dengan mengurniakan rasa ‘bersalah apabila bercouple.’ Tetapi apabila dia tidak mengendahkan rasa itu, akhirnya rasa itu akan lenyap dan pada akhirnya dia menjadi seperti seorang penagih yang ketagih pada perhatian lelaki yang bergelar kekasih.
Kini, saya mula berfikir alangkah baiknya saya mempunyai sifat malu yang sangat tinggi pada jantina berlainan (sifat itu masih kekal hingga kini). Ketika orang lain bangga bercouple, saya bangga menyatakan saya tidak pernah bercouple, malah saya tiada kawan lelaki, hanya kenalan lelaki saja. Jika dulu saya rasa sifat malu ini adalah kelamahan saya, kini saya tahu itu adalah kekuatan saya. Syukur tidak terhingga saya panjatkan kerana Allah mengurniakan sifat malu sebagai perisai diri saya.
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” – (HR Bukhari)
Kita sering mendengar di barat, mereka yang tidak pernah melakukan hubungan seks sebelumberkahwin dianggap kolot. Seks bagi mereka adalah sesuatu yang lumrah, suatu keperluan tidak kira sama ada di dalam lingkaran perkahwinan atau tidak.
Kita di Malaysia pula, sesiapa yang tidak pernah bercouple dikatakan kolot. Couple bagi kita adalah sesuatu yang lumrah, suatu keperluan untuk mengenali seseorang sebelum berkahwin. Bagi remaja yang belum terfikir pun untuk berkahwin, couple adalah untuk memenuhi naluri yang sentiasa ingin menyayangi dan disayangi oleh jantina berlainan tidak kira sama ada di dalam lingkaran perkahwinan atau tidak.
Dalam hati saya terdetik apakah kita satu langkah ke belakang saja sebelum menjadi seperti mereka di barat? Apabila couple tidak lagi dianggap satu kesalahan, mungkinkah suatu hari nanti seks sebelum berkahwin juga akan dianggap sesuatu yang lumrah bagi kita di sini?
Jangan menganggap sesuatu perkara itu betul hanya kerana orang di sekeliling kita melakukannya, kerana cerita di televisyen memaparkannya, kerana novel-novel cinta mengungkapkannya, kerana orang-orang yang kita sanjung melakukannya, kerana ibu bapa membenarkannya. KPI kita bukan manusia tetapi ALLAH swt. Kejar cinta Alllah dahulu sebelum kita mengejar cinta manusia. Isikan hati yang kosong dengan Allah, nescaya Allah tidak akan pernah mengecewakan kita berbanding dengan manusia yang serba lemah.
Semoga Allah terus memperteguhkan hati saya dan hati mereka-mereka yang tidak pernah bercopule untuk terus menjaga diri, menjaga hati sebelum sampai jodoh yang telah ditetapkanNya. Semoga mereka yang masih lagi leka dengan dunia couple mendapat hidayah untuk berhenti melakukan perkara yang kita rasakan dapat mengeratkan hubungan kita dengan kekasih hati kita (keluar berdua-dua setiap hari, berbual di telefon setiap malam, berjanji bulan dan bintang, makan bersuap, jalan berpegangan), tetapi tanpa kita sedar semakin menjauhkan diri kita denganNya sedangkan kasih Ilahi lah kasih yang paling utama.
Oleh: fazila