Pernahkah anda pergi ke suatu majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah perdana, kem mantapan diri dan lain-lain lagi di mana anda merasakan diri anda benar-benar di’brainwash’ sehingga anda menitis air mata menandakan penyesalan melalui jalan hidup penuh kemaksiatan? Tamat sahaja kem tersebut, anda berasa sangat insaf dan berkeinginan untuk memulakan hidup yang baru. Tetapi tidak sampai sebulan kemudian, anda kembali bergelumang dengan maksiat. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini?
Atau…
Anda sedang dilanda pelbagai masalah. Sudahlah pelajaran merosot, anda pula dibuang kekasih yang disayangi. Anda berusaha menyelamatkan hubungan tersebut, tetapi menghadapi kegagalan yang teruk. Anda benar-benar tertekan, tidak punya penyelesaian. Tiba-tiba anda terdetik membuka laman webiluvislam.com, terbaca satu artikel menginsafkan menyedari betapa silapnya hubungan cinta sebelum nikah. Sejurus selepas itu, anda terus insaf dan mula mendekati cinta Allah dan RasulNya. Namun, cinta hakiki tersebut tak bertahan lama, anda akhirnya akur menerima kehadiran sekali lagi cinta yang tiada kepastian. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini pula?
---------------------------------------------------------------
Apakah persamaan antara kedua-dua situasi di atas? Ya, walaupun tampak melalui jalan yang berbeza, tetapi kedua-dua situasi melalui tempoh penginsafan, namun amat malang sekali ianya tidak bertahan lama, yang kita panggil di sini; INSAF EKSPRESS. Apakah yang menyebabkan kita melalui insaf sekejap ini? Cubalah kita muhasabah sebentar. Di sini kita cuba senaraikan segala sebab musabab yang menyebabkan diri anda tewas, menggadaikan keinsafan diri.
Tarikan rakan?
Apabila anda berubah dan berkeinginan untuk terus dengan watak yang berubah tersebut, tetapi anda kena ingat rakan-rakan anda masih lagi seseorang watak yang lama. Anda sudah ingin mula mendekati masjid tetapi dalam masa yang sama rakan-rakan baik anda menonton wayang. Apakah yang paling kuat mempengaruh anda? Rakan baik anda mengajak anda menemani dia lepak bersama-sama rakan dia yang lain walaupun hari sudah lewat malam, tambah-tambah lagi bercampuran lelaki perempuan. Sanggupkah anda melukakan hati rakan baik anda?
Keadaan sekeliling?
Anda berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lama lagi, tetapi keadaan sekeliling benar-benar menduga anda. Ramai lelaki bertekad untuk menjauhi menonton video lucah, tetapi apakan daya di luar sana sahaja sudah cukup tahap lucahnya. Siapakah yang kerap menghiasi segenap ruang televisyen di rumah kita melainkan artis-artis yang ghairah mendedah diri? Setiap kali berjalan di luar sana pula, terpandang muslimah bertudung pendek mendedah perhiasan tersembunyi miliknya. Tambah lagi, sewaktu melayari facebook, lambakan gambar-gambar muslimah menjaja diri tak dapat dielakkan untuk dipertontonkan. Bagaimanakah lelaki yang ramai ini mahu mengekalkan rentak keinsafannya selagi keadaan sekelilinginya sebegini?
Rasa terkongkong?
Mengamalkan kehidupan Islam sepenuhnya memerlukan anda melupakan segala keseronokan melampaui batas dulu. Jika dulu anda boleh bergaul rapat antara rakan bukan sejantina secara terbuka, tetapi kini anda terpaksa mengehadkan pergerakan. Terasa leceh bukan? Semasa zionis menyerang umat palestin di sana, anda mendapat kesedaran untuk memboikot barang keluaran milik zionis di sini. Tetapi setelah habis musim zionis menyerang, anda pun habis musim memboikot bukan? Mengapa ini berlaku? Adakah anda mula berasa diri anda rimas kerana banyak batasan yang perlu dipatuhi sehingga tak dapat hidup melainkan memenuhi kepuasan anda?
Perasaan terasing?
Anda merasakan kehidupan baru yang penuh ‘keinsafan’ ini tidak dapat memenuhi kepuasan anda. Ramai perempuan tewas dalam menjaga maruah diri disebabkan merasakan diri mereka terasing sangat. Rakan anda mengenakan pakaian berfesyen menarik perhatian ramai, sedangkan anda mengenakan pakaian membungkus diri tiada siapa peduli. Malah dipandang serong pula. Siapakah yang dapat bertahan bukan?
Bantuan teknologi?
Seberapa gigih anda berusaha bertahan dengan istiqamah perubahan tersebut, memang tidak akan kekal lama jika anda masih tak dapat mengawal segala teknologi yang mencorak kehidupan anda. Jika dulu, lelaki yang hendak melepaskan gian mencuci mata perlu menyusuri kelab-kelab malam bertebaran di bandar, tetapi kini Internet ada sahaja di depan mata, tak perlu membuang masa, dengan satu klik terpampang segala hidangan yang diingini. Adakah teknologi bertindak sebagai pemudah dalam melakukan dosa? Ketika zaman nenek moyang kita, mereka yang hendak berdating perlu menyusuri berbatu-batu jauhnya kampung, tetapi kini dating sahaja di yahoo messenger! Luahkan segala bagai perasaan cinta yang terpendam. Adakah peluang melakukan dosa lebih tinggi sejak kehadiran teknologi yang semakin berkembang ini?
---------------------------------------------------------------
Kita sebenarnya memang sengaja tidak mahu menghurai lanjut jawapan untuk setiap persoalan-persoalan yang diberikan. Fikir-fikirkanlah kerelevanan kata-kata King ke-6 terakhir, iaitu semenjak kalah dalam perang salib terakhir, dia telah berwasiat sebelum mati, ditulis dengan emas di London:
"..kepada semua pemimpin-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita berperang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita menukar strategi. Kita perlulah melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya ke atas orang Islam."
Sekarang anda patut tahu, mengapakah yahudi tidak gentar membiarkan umat Islam berdakwah melalui teknologi ciptaannya. Kerana mereka tahu, kebanyakan umat islam kini hanya insaf ekspress!
Jadi, sudah tiba masanya anda tentukan apakah sebab musabab anda terhalang untuk terus istiqamah dalam perubahan. Mampukah anda melawan tarikan kawan? Tidak mempedulikan keadaan sekeliling? Mengetepikan perasaan terasing dan rasa terkongkong? Dan tidak membiarkan teknologi memperalatkan anda? Semua jawapan ada ditangan anda. Ayuh, masa untuk istiqamah dalam keinsafan. Tidak perlu insaf ekpress lagi!
No comments:
Post a Comment